Tindakan menguatkuasakan peraturan di kuarters kediaman penjawat awam yang dilaksanakan oleh BPH adalah merujuk kepada Peraturan-Peraturan Menduduki Kuarters yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh setiap penghuni semasa menerima tawaran untuk menduduki kuarters. Antara perkara yang terkandung dalam peraturan tersebut adalah penghuni kuarters adalah tidak dibenarkan untuk berniaga atau menjalankan apa-apa bentuk perniagaan.
Penguatkuasaan yang dijalankan oleh BPH dibuat hasil daripada aduan yang diterima daripada penghuni kuarters mengenai aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh penghuni-penghuni kuarters sendiri dan pemantauan yang dijalankan oleh pihak BPH. Aktiviti perniagaan ini termasuklah aktiviti perniagaan mengasuh anak-anak dirumah di kawasan kuarters di seluruh Putrajaya.
Tindakan penguatkuasaan yang telah dijalankan itu telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan mereka yang terlibat menjalankan aktiviti berkenaan. Sehubungan itu, pada 18 April 2012 yang lepas, BPH telah mengadakan sesi dialog dan perjumpaan dengan semua penghuni yang mengusahakan aktiviti perniagaan di kawasan kuarters bagi mendapatkan pandangan dan penyelesaian.
Langkah ini adalah sebahagian dari proses engagement dengan penghuni sebelum sesuatu pekara itu dilaksanakan dan pihak BPH sebenarnya belum mengeluarkan notis mengosongkan kuaters kepada pihak yang terlibat kerana penelitian kepada isu ini masih dijalankan.
Hasil daripada maklum balas yang diperolehi pada sesi dialog dan perjumpaan tersebut, BPH telah mengambil beberapa tindakan seperti berikut:
a) Mendapatkan maklumat terhadap bilangan dan bentuk aktiviti perniagaan yang mendapat perhatian utama di kalangan penghuni kuarters. Tindakan ini akan meliputi kesemua Presint di Putrajaya yang mempunyai kuarters. Maklumat yang diterima itu akan digunakan sebagai input kepada BPH semasa merangka cadangan pindaan kepada perenggan 6.2.1 di dalam Surat Perjanjian Menduduki Kuarters Kerajaan. Tempoh masa yang terlibat adalah daripada 19 April 2012 hingga 25 April 2012. Usaha untuk mendapatkan maklumat tersebut menerusi operasi yang akan dijalankan itu bukan hanya bertumpu di Putrajaya sahaja tetapi juga akan diperluaskan kepada semua kuarters yang berada di bawah kawalan BPH termasuklah di Jalan Dutamas dan Jalan U-Thant, di Kuala Lumpur serta KKKA di Tanjung Kupang, Johor.
b) membentuk satu Pasukan Petugas (Task Force) yang akan meneliti, menyemak dan mengkaji semula cadangan pindaan Surat Perjanjian Menduduki Kuarters khususnya perenggan 6.2.1 dengan mengambilkira kepada cadangan bentuk aktiviti perniagaan yang akan dibenarkan. Pasukan Petugas ini akan mengkaji dari pelbagai aspek termasuklah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kerajaan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Bomba dan sebagainya.
c) BPH akan meletakkan sasaran untuk mengeluarkan surat arahan pindaan terhadap Surat Perjanjian Menduduki Kuarters itu kepada semua penghuni kuarters pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada semua penghuni dan tarikh berkenaan itu nanti juga dianggap tarikh penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dibenarkan atau sebaliknya.
Penghuni kuarters yang terlibat terutama ibu bapa yang menghantar anak ke kediaman penghuni yang menjaga anak-anak yang diusahakan dari kuarters adalah dinasihatkan untuk bersabar serta dapat memberi ruang kepada BPH yang sedang dalam tindakan mengkaji serta menyemak dari pelbagai sudut. Keputusan mengenai kajian tersebut akan diketahui dalam tempoh terdekat sebagaimana sasaran tarikh yang ditetapkan.
Pihak BPH sentiasa menerima pandangan dan teguran dari penghuni bagi memperbaiki Pengurusan kuaters supaya dapat memberi keselesaan kepada semua penghuni. Walaubagaimanapun bagi aktiviti yang boleh menganggu sebilangan besar penghuni kuaters ianya tetap tidak akan dibenarkan.
Pihak BPH juga sentiasa prihatian kepada penghuni yang ingin menambahkan pendapatan keluarga dengan membuat kerja dan aktiviti tambahan tetapi ia seharusnya tidak menganggu jiran berhampiran dan tidak menimbulkan kemudaratan terutama dari segi kebersihan dan keselamatan. Pekara inilah yang akan diteliti supaya semua pihak dapat menerimanya dengan keadaan yang lebih harmoni dan selesa.
Sekian, terima kasih.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
"BERILTIZAM PENUHI HASRAT"
Saya Yang Menurut Perintah,
(MOHD FADZIL AZMA BIN MAT SAAD)
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
BAHAGIAN PENGURUSAN HARTANAH
Tel : 03-88800162
Faks : 03-88883031
.
p/s: ni la sumber terbaru yang dikeluarkan oleh BPH untuk di warwarkan kepada penghuni kuarters kerajaan. Secara rumusnya sabar jer la tunggu~~..huhuhu